GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Farhani Che Ad


KEBIMBANGAN seorang ibu apabila panggilan telefonnya tidak dijawab anak perempuannya berusia 11 tahun, terjawab apabila ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tergantung di jeriji besi rumah mereka di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, kanak-kanak yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim.

Kejadian disedari ibu kanak-kanak terbabit ketika pulang dari kerja kira-kira 8.30 malam.

Katanya, ketika ditemui anak sulung daripada dua beradik tinggal seorang diri di rumah berikutan bapanya menetap di Pulau Pinang manakala adik lelakinya berada di rumah nenek mereka.

“Sudah menjadi kebiasaan dia tinggal seorang diri setiap hujung minggu ketika saya keluar bekerja, namun berpesan pada jiran untuk tengok-tengokkan dia.

“Pagi itu sebelum ke tempat kerja, saya mengajaknya ke rumah neneknya tetapi dia tidak mahu,” katanya ketika ditemui di rumah mereka, hari ini.

Menurut ibunya, kali terakhir dia dapat bercakap dengan anaknya pada jam 5.12 petang sebelum dia memberitahu mahu tidur terus menutup telefon.

“Kira-kira jam 6.45 petang, saya menelefonnya semula tetapi gagal dihubungi.

“Sebaik tiba di rumahnya selepas selesai bekerja, saya terkejut melihat keadaan rumahnya gelap gelita sebelum menemui anak perempuannya dalam keadaan tergantung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa dipercayai menggantungkan diri menggunakan kain batik yang diikat di jeriji besi rumah mereka.

“Siasatan yang dijalankan mendapati tiada kesan pecah masuk dan pintu jeriji dalam keadaan berkunci.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Katanya, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 4:55 PM