PEJABAT kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalani disinfeksi secara menyeluruh susulan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.FOTO Ihsan UniSZA
PEJABAT kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalani disinfeksi secara menyeluruh susulan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.FOTO Ihsan UniSZA
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengesahkan seorang kakitangannya positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan dan pengasingan di Hospital Hulu Terengganu.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kakitangan yang positif itu mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu menaiki kapal terbang sama dengan seorang individu yang disahkan postif Covid-19 yang pulang dari Sabah.

"Kakitangan itu diarahkan untuk membuat saringan segera di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebaik mengetahui mengenai rekod perjalanan itu sebelum disahkan juga positif.

"Seramai 14 kakitangan UniSZA dikenal pasti sebagai kontak rapat diletakkan di bawah perintah pengawasan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Semua warga UniSZA yang mempunyai kontak dengan kakitangan yang dikuarantin sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu bermula 2 hingga 15 Oktober bagi mengelak penularan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hassan Basri berkata, pihak pengurusan UniSZA memutuskan supaya semua kakitangan untuk bekerja dari rumah bermula 5 hingga 7 Oktober dan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh akan dilaksanakan di seluruh kampus iaitu Kampus UniSZA Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut.

"Arahan itu membabitkan semua operasi pentadbiran kecuali kakitangan yang terbabit dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman tertakluk kepada kelulusan Naib Canselor.

"Kebajikan penuntut yang masih berada di dalam kampus akan diuruskan oleh pihak universiti. Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diteruskan seperti biasa secara dalam talian. "Semua program termasuk mesyuarat dan bengkel secara bersemuka di kampus UniSZA ditangguhkan sehingga keadaan kembali terkawal. UniSZA juga menggerakkan pasukan kaunseling terlatih dan unit kebajikan yang aktif membantu kakitangan dan keluarga yang terjejas," katanya.

Tambahnya, dia difahamkan orang awam yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan UniSZA positif sudah dihubungi secara terus oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus untuk tindakan selanjutnya.

"Warga UniSZA dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga dengan berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan selain elakkan daripada berkumpul serta patuhi prosedur operasi standard (SOP) serta amalkan Norma Baharu yang digariskan oleh pihak KKM," katanya.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, kesihatan semua kakitangan dan penuntut dipantau melalui Sistem Penilaian Risiko Covid-19 (ChaSe).

"Warga UniSZA yang dikesan berisiko dijangkiti Covid-19 melalui sistem ChaSe akan diarahkan membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan UniSZA," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:33 PM