Proses membawa pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke asrama selepas rumah sewa mereks dinaiki air.Foto IHSAN UNISZA
Proses membawa pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke asrama selepas rumah sewa mereks dinaiki air.Foto IHSAN UNISZA
Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak di sini, dan Tembila, Besut giat memindahkan pelajar ke asrama selepas rumah sewa mereka dinaiki air.

Naib Canselor UniSZA Prof Dr Fadzli Adam berkata, petugas banjir UniSZA bertindak pantas membawa pelajar terbabit ke asrama selepas kediaman mereka dimasuki air.

Menurutnya, proses pemindahan pelajar berjalan lancar dan segala bentuk bantuan juga sudah digerakkan.

"Setakat ini, petugas banjir UniSZA membawa 16 pelajar yang menyewa di Taman Murni Permai Tok Jembal dan Taman Tanjung Permata ke asrama pelajar ke kampus di Gong Badak.

"Di kampus Besut, seramai 29 pelajar membabitkan 21 pelajar perempuan dan lapan pelajar lelaki yang rumah sewa mereka di naiki air di bawa ke asrama," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Fadzli berkata, pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan bantuan agensi lain bagi membawa 25 pelajar yang menetap di luar kampus masih terkandas di Besut.

Beliau berkata, pihak UniSZA tidak dapat membawa pelajar terbabit kerana banjir semakin buruk dan laluan terputus untuk ke rumah sewa pelajar di Besut.

"Pasukan petugas banjir UniSZA juga sedang giat menjalankan misi bantuan menghantar bantuan makanan serta kemudahan pengakutan bagi warga UniSZA yang terjejas.

"Selain itu, seramai 150 sukarelawan dalam keadaan bersiap sedia untuk dikerahkan ke kampus UniSZA, manakala 46 sukarelawan di Besut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 4:24 PM