Badrul Hafeezy bersama kucing kesayangannya, Leo yang gagal diselamatkan diTaman Ad Deen, Kampung Alor Lintang. Foto IHSAN BADRUL HAFEEZY ALI
Badrul Hafeezy bersama kucing kesayangannya, Leo yang gagal diselamatkan diTaman Ad Deen, Kampung Alor Lintang. Foto IHSAN BADRUL HAFEEZY ALI
Faizul Azlan Razak


Besut: Bukan hanya gagal menyelamatkan harta benda, banjir melanda Taman Ad Deen, Kampung Alor Lintang di sini turut menyebabkan Badrul Hafeezy Ali kehilangan kucing peliharaan dan burung murai batu bernilai RM20,000.

Badrul Hafeezy, 35, berkata, lima kucing kesayangan yang antaranya diberi nama Leo dan Mochi selain enam burung murai batu yang diletakkan dalam sangkar rumah mati lemas.

Katanya, dia tidak menyangka banjir seteruk itu kerana bah besar tidak pernah berlaku di kawasan perumahan itu sejak mendudukinya, tujuh tahun lalu.

Pengawal keselamatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila itu berkata, dia tidak mengalihkan kesemua binatang peliharaan yang dibeli lebih setahun lalu kerana tidak terfikir banjir besar berlaku.

"Ketika air mula memasuki rumah pada malam Ahad lalu, hanya isteri (Nurul Akma Mamat, 33) berada di rumah dan kebetulan saya kerja syif 11.30 malam dan habis pada 7.30 pagi kelmarin.

"Disebabkan kejadian ini pertama kali berlaku, isteri saya panik apabila melihat air semakin tinggi dan hanya sempat membawa barangan penting sebelum keluar menyelamatkan diri.

"Ketika berada di tempat kerja, saya tidak senang duduk memikirkan isteri yang tinggal seorang diri di rumah kerana air naik cepat," katanya ketika dihubungi.

Selain binatang peliharaan, kereta dan dua motosikalnya turut ditenggelami banjir.

Menyifatkan banjir itu sangat luar biasa, Badrul Hafeezy memberitahu dia sendiri terkandas di kampus kerana jalan untuk pulang ke rumah ditutup akibat tenggelam banjir.

"Sedih kerana gagal selamatkan binatang kesayangan dan harta benda, namun saya tetap bersyukur isteri selamat," katanya yang kini reda dengan apa yang berlaku.

Besut antara daerah terjejas teruk apabila 7,864 mangsa membabitkan 2,074 keluarga kini ditempatkan di 76 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 12:51 PM