Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Sesi pembelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dihentikan selama dua hari mulai hari ini berikutan musibah banjir yang melanda institusi pengajian tinggi (IPT) itu, semalam.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim berkata, pihaknya turut mengarahkan kakitangan pentadbiran dan sokongan, bekerja seperti biasa supaya mereka dapat memantau keadaan banjir di dalam kampus.

Beliau berkata, pihaknya melalui Tabung Kebajikan UniSZA juga akan memberikan bantuan segera kepada pelajarnya yang terbabit dengan banjir.

"Sehingga jam 2 petang semalam, saya dimaklumkan seramai 77 pelajar, masing-masing 14 lelaki dan 63 perempuan dipindahkan ke dalam asrama di kampus ini," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Banjir UniSZA, Gong Badak, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan rumah dihuni pelajar dinaiki air di kawasan Gong Badak 4, Taman Uda Tok Jembal, Taman Desa Tanjung Damai, Taman Desa Seri Iman, Kampung Wakaf Tengah, Kampung Gong Pak Jin dan Gong Badak 1, di sini.

"Semua pelajar ini ditempatkan di asrama kampus bermula kelmarin. Selain itu, penghuni yang tinggal di Blok A dalam kampus ini dipindahkan selepas kawasan itu dinaiki air.

"Kita juga dimaklumkan pelajar tidak sempat menyelamatkan barangan di rumah sewa kerana ketika kejadian berada di dalam dewan kuliah. Justeru, kita akan bantu pelajar terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 7:57 PM