PROSES menyedut air hujan yang bertakung dalam lubang  menyebabkan hakisan pada kubur di tanah perkuburan Islam Azzahrah perkampungan Indera Sempurna. FOTO Mohd Rafi Mamat
PROSES menyedut air hujan yang bertakung dalam lubang menyebabkan hakisan pada kubur di tanah perkuburan Islam Azzahrah perkampungan Indera Sempurna. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


HUJAN lebat beberapa jam menyebabkan tanah di tanah perkuburan Islam Azzahrah perkampungan Indera Sempurna, di Kuantan, runtuh, semalam.

Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Fasa Tiga B Indera Sempurna, Asri Mansor, 46, berkata, pada mulanya terdapat sebuah lubang bersebelahan kubur berkenaan yang dipenuhi air.

Menurutnya, disebabkan hakisan yang berlaku tanah kubur berkenaan runtuh, namun pihaknya sudah mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

“Saya bersama ahli jawatankuasa tanah perkuburan itu dibantu penduduk kampung mengambil masa selama 30 minit untuk menyedut air menggunakan enjin menyedut air dan menimbus semula lubang serta membaiki kubur yang rosak.

“Kami menggunakan jengkaut bagi melancarkan kerja berkenaan selain membaiki sistem saliran di kawasan tanah perkuburan itu,” katanya yang tidak menyangka kejadian berkenaan boleh berlaku.

Katanya, jika mereka tidak mengambil tindakan segera, berkemungkinan keranda jenazah wanita warga emas yang dikebumikan awal bulan ini akan kelihatan.

Menurutnya, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku di tanah perkuburan yang mula digunakan awal tahun ini.

“Saya akan berusaha mendapatkan peruntukan khas bagi menyediakan sistem saliran yang sesuai dalam kawasan perkuburan berkenaan bagi memastikan kejadian yang berlaku tidak terus berulang pada masa akan datang.

“Tanah perkuburan Islam Azzahrah ini terletak di kawasan yang rendah yang sebelum ini adalah bekas paya, keadaan itu menyebabkan air sering bertakung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 11:57 AM