IMAN dalam penjagaan rapi di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin. FOTO ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
IMAN dalam penjagaan rapi di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin. FOTO ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Mohd Izham Unnip Abdullah


PELUANG badak sumbu Sumatera terakhir Malaysia sembuh bagi membolehkannya menjalani proses pengambilan telur untuk pembiakan secara in-vitro (IVF) dilihat sukar berikutan keadaannya kian tenat.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Augustine Tuuga, menyatakan walaupun mamalia betina dikenali sebagai Iman itu masih mengeluarkan telur namun keadaan kesihatannya boleh menjadi semakin buruk jika proses pengambilan telur dilakukan.

“Melihat keadaannya yang semakin tenat, kita tidak sampai hati untuk melakukan proses pengambilan telur kerana kita bimbang ia menyebabkan kesakitan dialaminya bertambah teruk dan mungkin tidak dapat bertahan.

“Setakat ini, peluang untuk Iman menjalani proses itu tipis. Namun, kita berdoa agar keadaan kesihatannya dipulihkan menerusi proses rawatan yang dilakukan,” katanya.

Iman yang dianggarkan berumur 25 tahun kini berada dalam penjagaan rapi veterinar hidupan liar di Sanktuari Badak Borneo, Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, di Lahad Datu.

Mengulas lanjut, Augustine berkata, pakar dari Jerman yang melakukan proses pengambilan telur Iman sebelum ini bersedia dipanggil semula bagi mengulangi proses itu jika keadaan kesihatan Iman mengizinkan.

Telur atau ovum mamalia itu dikeluarkan pakar itu akhir September lalu namun ia gagal disenyawakan melalui teknik IVF disebabkan sperma atau benih daripada badak jantan yang digunakan dalam proses itu kurang berkualiti.

Ia menggunakan sperma daripada badak jantan dikenali sebagai Tam yang diambil dan disimpan sebelum badak itu mati akibat usia tua dan kegagalan organ dalaman Mei lalu.

Pada masa yang sama, Augustine berharap Indonesia memberikan maklum balas segera berhubung rancangan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembiakan badak.

MoU itu antara lain berkaitan persetujuan bagi membolehkan benih badak Sumatera jantan dari Indonesia digunakan untuk disenyawakan dengan telur Iman menerusi teknik IVF.

Ia merangkumi MoU berkaitan penggunaan ibu tumpang badak betina Indonesia bagi menempatkan embrio yang dihasilkan memandangkan keadaan kesihatan Iman tidak membolehkan ia bunting.

“Kalau Indonesia tidak memberikan maklum balas, kita tidak boleh berbuat apa-apa tetapi kita tetap berusaha dan berharap MoU yang dirancang itu dilaksanakan secepat mungkin.

“Sebenarnya MoU itu bukan saja berkaitan Iman, malah ada aspek lain pemeliharaan badak,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri yang diketuai Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew mengadakan pertemuan dengan Indonesia berkaitan perkara itu, namun belum ada perkembangan lanjut setakat ini.

Kelmarin, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, menjelaskan keadaan Iman tenat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:45 AM