(DARI kiri) Calon Parti Rakyat Malaysia, Mohd Zulkifli Abdul Fattah; Calon Warisan, Naganathan Pillai; Calon Pejuang, Wan Azliana Wan Adnan; Calon Bebas, Siti Zabedah Kasim; Calon BN, Datuk A.Kohilan Pillay, Calon PH P.Prabakaran; Calon PN Azhar Yahya serta Calon Bebas, Tian Chua; Nur Fathiah Syazwana Shaharudin dan Too Cheng Huat, (kanan) diumumkan bertanding di Parlimen P115 Batu. FOTO Azhar Ramli
(DARI kiri) Calon Parti Rakyat Malaysia, Mohd Zulkifli Abdul Fattah; Calon Warisan, Naganathan Pillai; Calon Pejuang, Wan Azliana Wan Adnan; Calon Bebas, Siti Zabedah Kasim; Calon BN, Datuk A.Kohilan Pillay, Calon PH P.Prabakaran; Calon PN Azhar Yahya serta Calon Bebas, Tian Chua; Nur Fathiah Syazwana Shaharudin dan Too Cheng Huat, (kanan) diumumkan bertanding di Parlimen P115 Batu. FOTO Azhar Ramli
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Sebanyak 10 kawasan Parlimen menyaksikan pertembungan tujuh penjuru dan lebih, dengan pertembungan paling ramai calon adalah di Parlimen Batu, dengan 10 calon.

Selain itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, Perak menjadi kerusi DUN yang paling ramai ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), membabitkan tujuh calon.

Pada masa sama, DUN Bugaya yang turut mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 19 November ini, juga menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Sembilan Parlimen lagi yang merekodkan pertembungan calon paling ramai, termasuk di Ampang iaitu sembilan penjuru.

Tiga Parlimen menyaksikan pertandingan lapan penjuru iaitu Kota Raja, Bangi dan Sepang, manakala lima Parlimen membabitkan tujuh penjuru iaitu Sungai Buloh, Klang, Kapar, Alor Star dan Sungai Siput.

Selain menjadi kerusi Parlimen yang paling menjadi rebutan, kehangatan persaingan di Parlimen Batu bertambah dengan pertembungan antara penyandang kerusi, P Prabakaran mewakili Pakatan Harapan (PH) dan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, yang memutuskan bertanding atas tiket Bebas.

Pada PRU-14, Tian Chua menyatakan sokongan kepada Prabakaran, yang ketika itu bertanding sebagai calon Bebas, selepas beliau hilang kelayakan.

Bagaimanapun, pada penamaan calon PKR pada 28 Oktober lalu, Tian Chua yang memenangi kerusi itu pada PRU-12 dan PRU-13 digugurkan daripada menjadi calon.

Calon lain di Parlimen Batu ialah Datuk A Kohilan Pillay daripada Barisan Nasional (BN), Azhar Yahya (Perikatan Nasional (PN)), P Naganathan (Parti Warisan (WARISAN)) dan peguam Wan Azliana Wan Adnan (Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Beberapa calon turut mencuba nasib atas platform Bebas, termasuk pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra, peguam Siti Kasim, Too Cheng Huat dan Zulkifli Abd Fatah.

Di Ampang, penyandang kerusi, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang bertanding mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bertemu dengan lapan lagi calon termasuk, Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail mewakili PH, yang dalam misi merampas semula kerusi itu daripada Zuraida, yang meninggalkan PKR pada 2020.

Zuraida turut dicabar Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen (BN); Sasha Lyna Abdul Latif (PN), Nurul Ashikin Mabahwi (PEJUANG) dan Lai Wai Chong (WARISAN).

Calon lain ialah tiga calon Bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng dan M Raveendran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 5:40 PM