Norizuan Shamsuddin


DUA pelajar tahfiz masing-masing berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak di asrama madrasah, Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh itu, remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Pertuduhan pertama, remaja berusia 17 tahun didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 13 tahun di bilik asrama sebuah madrasah di Kuala Terengganu, kira-kira 10.30 malam, Jun lalu.

SEORANG daripada tertuduh yang berusia 17 tahun ketika dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Imran Makhzan.
SEORANG daripada tertuduh yang berusia 17 tahun ketika dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Imran Makhzan.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (b) akta sama kerana melakukan amang seksual terhadap mangsa di bilik asrama berkenaan, pada 10.30 malam, antara 11 sehingga 31 Ogos lalu.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengikut seksyen 14 (a) akta sama kerana melakukan kesalahan serupa terhadap mangsa sama pada 10.30 malam, 11 Ogos sehingga 31 Ogos.

Sementara itu, tertuduh yang berusia 15 tahun pula berdepan didakwa mengikut seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 10 tahun di bilik asrama pusat pengajian sama.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada pertengahan Mei lalu kira-kira 12 malam.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh melakukan amang seksual pada penghujung Mei lalu kira-kira 11 malam.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Disember depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 3:31 PM