NORIZAN Awang, 48, sempat menyelamatkan anak perempuannya yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Tanah Puteh. FOTO Ihsan Pembaca
NORIZAN Awang, 48, sempat menyelamatkan anak perempuannya yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Tanah Puteh. FOTO Ihsan Pembaca
Ramli Ibrahim

KANAK-KANAK perempuan nyaris dihanyut arus deras apabila rumahnya di Kampung Tanah Puteh di Gua Musang, dilanda banjir kilat, malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian 10 malam itu, kanak-kanak berusia dua tahun terbabit sempat diselamatkan ibunya, Norizan Awang, 48, yang mengharungi banjir separas 0.5 meter.

Dia antara 12 keluarga di kampung berkenaan berdepan detik cemas apabila kampung itu dinaiki air apabila hujan lebat lebih tiga jam bermula 8 malam dan paras air surut pada 2 pagi.

Ketika ditemui, Norizan berkata, banjir kilat mula memasuki rumahnya pada 10 malam dan dia ketika itu sempat meletakkan dokumen penting di tempat yang selamat.

Katanya, dalam keadaan tidak sedar air sudah naik ke paras 0.5 meter dan anak perempuan masih diletakkan diatas katil dalam bilik.

“Berikutan itu, saya bergegas menyelamatkan anak perempuan dan lima lagi anak yang lain keluar ke tempat selamat.

“Rumah kami ini adalah kali yang kelima berlaku banjir kilat tahun ini dan mungkin akan berulang lagi sebelum berakhir musim tengkujuh,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah, Mohd Yusalmi Yusoff berkata, tiga kampung membabitkan 30 rumah terbabit banjir kilat malam tadi.

Katanya, selain Kampung Tanah Puteh, turut berlaku banjir kilat di Kampung Lepan Jaya dan Perumahan Agropolitan Rantau Manis.

Katanya, 10 anggota dikerah ke lokasi itu bagi membantu memindahkan mangsa banjir terbabit.

“Bagaimanapun, kebanyakan mangsa banjir sudah berpindah ke kawasan selamat dan mereka pulang semula ke rumah pada 2 pagi sebaik air surut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 10:45 AM