Dr Wan Azizah beramah mesra bersama pemenang dan pelajar selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan Kit Simulasi Usahawan Muda. FOTO Asyraf Hamzah
Dr Wan Azizah beramah mesra bersama pemenang dan pelajar selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan Kit Simulasi Usahawan Muda. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

BASIKAL lajak iaitu basikal yang diubah suai sehingga mendatangkan situasi bahaya, sememangnya haram berada di jalan raya, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Basikal lajak ni memang tiada brek, itu memang salah, sebarang kenderaan yang mempunyai masalah brek memang haram berada di jalan raya, jadi tak perlu nak haram-haram lagi,” katanya ditemui selepas merasmikan Program Bengkel Usahawan Muda Parlimen Pandan di Ampang hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media mengenai cadangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mengharamkan secara menyeluruh aktiviti basikal lajak yang menjadi trend remaja masa kini.

Basikal lajak kembali menjadi tumpuan berikutan keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan jurujual daripada pertuduhan menyebabkan kematian lapan kanak-kanak yang sedang berbasikal lajak pada 2017.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ibu bapa seharusnya bertanggungjawab memantau keberadaan anak-anak supaya tragedi seperti itu tidak berulang.

Terdahulu, berucap merasmikan program itu, Dr Wan Azizah berkata, usahawan perlu mampu mengambil risiko perniagaan dan mengurus risiko itu dengan betul.

Pada masa sama, golongan itu perlu mengurangkan rasa takut pada kegagalan dan berdisiplin.

“Satu cara untuk memastikan disiplin ini ialah dengan usahawan dibayar gaji bulanan oleh perniagaannya sendiri.

“Ini disiplin yang sangat penting supaya kita tidak menyalahgunakan modal yang diperuntukkan untuk perniagaan, walaupun itu berupa perniagaan kita sendiri,” katanya.

Pada majlis sama Dr Wan Azizah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kit Simulasi Usahawan Muda Pandan.

Pertandingan itu disertai 100 pelajar dari lima sekolah menengah dari Parlimen Pandan.

Dalam pertandingan itu, pelajar dibahagikan kepada kumpulan dan menyelesaikan masalah perniagaan menggunakan Kit Simulasi Usahawan yang direka untuk memudahkan usahawan membuat keputusan perniagaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 10:28 PM