Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin. FOTO File NSTP
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saya jual basikal bukan kerana sudah 'kering'.

Itu penjelasan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin terhadap tindakannya menjual basikal kesayangan dengan harga RM42,000 semalam.

Pelumba berasal dari Ampang itu berkata, basikal yang dibeli dua tahun lalu jarang digunakan selain hasil daripada jualan itu boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan sepanjang tempoh berada di luar negara.

"Saya jual basikal bukan sebab tak ada duit cuma mahu menampung perbelanjaan lain. Lagi pun basikal terbabit kurang digunakan.

"Saya juga ada beberapa jenis basikal lain dan jika menjualnya boleh tampung perbelanjaan tiket penerbangan dan penginapan ketika menyertai kejohanan nanti," katanya, dalam sidang media secara maya, hari ini.

Terdahulu, Hafizh menerusi laman instagramnya mahu menjual basikal jenis Shiv TT dengan nilai pasaran dikatakan mencecah lebih RM70,000.

Basikal terbabit sering digunakan untuk beriadah terutama selepas berakhir musim perlumbaan di luar negara dan tanda harga jualan adalah RM42,000.

Sementara itu, Hafizh berkata, dia bercadang mahu berjumpa dengan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebaik tempoh kuarantinnya di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan tamat.

"Buat masa sekarang tak ada apa yang boleh saya katakan dan seperti sedia maklum TMJ (Tunku Ismail) banyak bantu atlet seperti tinju.

"Mungkin akan jumpa dengan TMJ selepas tamat tempoh kuarantin nanti jika ada kesempatan," katanya.

Sebelum itu, Tunku Ismail sememangnya serius mahu membantu pelumba negara itu terutama membabitkan soal perbelanjaan ketika menyertai kejohanan di luar negara.

Tunku Ismail mengakui teruja melihat sikap, tahap disiplin dan keazaman tinggi pelumba Moto2 negara itu yang beraksi bersama pasukan NTS RW Racing GP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:06 PM