Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norasikin Daineh


PROSES permohonan pendaftaran lewat kelahiran di Sabah dan Sarawak tidak dihentikan sama sekali dan masih tertakluk kepada ordinan sedia ada.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini, permohonan berkaitan masih boleh dibuat di mana-mana cawangan JPN berhampiran.

Kenyataan itu berkata, panel daftar lewat kelahiran akan dibuat di peringkat negeri dan dipengerusikan oleh Pendaftar Wilayah Sabah/Sarawak iaitu Pengarah Pendaftaran Negeri.

Penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) itu juga tidak akan menjejaskan perkhidmatan Mahkamah Bergerak Negeri Sabah yang dilaksanakan sekian lama dan memberi banyak manfaat kepada masyarakat setempat.

JPN akan sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan pihak berkenaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menurut kenyataan itu, JPN memberi jaminan sebarang penambahbaikan perkhidmatan tidak akan membebankan orang ramai terutamanya penduduk di kawasan pedalaman yang mempunyai isu logistik untuk hadir ke pejabat JPN.

Penambahbaikan di peringkat JPN itu adalah bagi memastikan proses berkaitan dilaksanakan secara telus dan berintegriti sekali gus mengelakkan peluang salah guna kuasa.

Sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau layari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-8880 7077/7067/7069/8206 atau emel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 8:41 PM