MyKad palsu yang tersebar di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca.
MyKad palsu yang tersebar di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca.
BERNAMA

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan MyKad didakwa milik beberapa warga China yang tular di media sosial adalah palsu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, JPN menjelaskan gambar yang ditularkan itu adalah kes pemalsuan dokumen pada 2015 yang diambil tindakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“JPN mengesahkan bahawa semua MyKad yang ditularkan itu adalah palsu dan bukan dikeluarkan oleh JPN. Kesemua maklumat seperti nombor kad pengenalan, gambar dan cap jari pada MyKad itu tidak wujud dalam sistem JPN,” kata kenyataan itu.

Orang ramai juga diminta segera menghentikan penyebaran gambar itu di media sosial bagi mengelak sebarang kekeliruan dan seterusnya menggugat ketenteraman awam.

Kata kenyataan itu lagi, tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang tidak benar oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077/7067/7069/8206 atau emel ke [email protected], untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 7:32 PM