KAD PPS yang tular di laman sosial. FOTO tular
KAD PPS yang tular di laman sosial. FOTO tular
BERNAMA

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menafikan gambar kad pengenalan diri yang dimuat naik melalui sebuah akaun Facebook (FB) baru-baru ini adalah Pas Sementara Sabah (PSS) seperti didakwa pemilik laman sosial itu.

JPN dalam satu kenyataan berkata, gambar dimuat naik dengan nama James Stephen pada 21 Disember lalu itu adalah Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKAS ) yang dikeluarkan oleh jabatan itu berdasarkan Peraturan 5(3)(c), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan sudah mula dikeluarkan sejak 1990.

“MyKAS adalah dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan kepada individu lahir di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraan mereka tidak dapat ditentukan," menurut kenyataan itu.

PSS adalah dokumen yang diperkenal kerajaan bagi menggantikan tiga dokumen warga asing di Sabah iaitu Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IM13 yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Jun tahun depan.

Menurut JPN, pemegang MyKAS adalah bertaraf bukan warganegara dan pemohon perlu memperbaharui kad pengenalan itu setiap lima tahun.

Bagaimanapun, MyKAS hanya dikeluarkan kepada individu yang memenuhi syarat-syarat permohonan yang ditetapkan oleh JPN dan pemegang MyKAS juga tidak mempunyai hak dan keistimewaan yang sama seperti individu berstatus warganegara.

Sehubungan itu, JPN meminta orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut untuk hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web jabatan itu di www.jpn.gov.my atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat ditalian 03-8880 7077/7067/7069/8206 atau emel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 5:45 PM