POLIS menemui senapang buatan sendiri dan peluru ketika serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Simpang Nanga Yong, Kapit. FOTO IHSAN PDRM
POLIS menemui senapang buatan sendiri dan peluru ketika serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Simpang Nanga Yong, Kapit. FOTO IHSAN PDRM
Garret Dawum


SERBUAN sebuah rumah tidak bernombor di Simpang Nanga Yong, Kapit, yang dipercayai menjadi sarang penagih bukan saja menjumpai dadah tetapi turut merampas selaras senapang patah buatan sendiri dan empat butir peluru.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, serbuan jam 6.40 pagi, Selasa lalu, dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit berdasarkan maklumat dan risikan.

“Dadah dirampas ialah jenis syabu dianggarkan seberat 1.87 gram dan nilai rampasan berjumlah RM600.

“Dalam serbuan itu, tiga lelaki dan dua wanita berusia 16 hingga 42 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Freddy berkata, semua barang rampasan dan suspek ditahan dibawa ke BSJND IPD Kapit untuk tindakan lanjut.

“Saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati mereka positif dadah.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 12:57 PM