Anwar melawat Mohd Anuar yang sedang dirawat di IKTAR HKL hari ini. Foto FB Anwar Ibrahim
Anwar melawat Mohd Anuar yang sedang dirawat di IKTAR HKL hari ini. Foto FB Anwar Ibrahim
Mohd Husni Mohd Noor


PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa melawat Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Anuar Tahir yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Ia dikongsi Anwar menerusi hantaran di akaun Facebook (FB), Anwar Ibrahim dan twitter, @anwaribrahim petang ini yang disertakan dengan dua gambar.

Menerusi media sosial itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mendoakan semoga Mohd Anuar diberi kesembuhan dengan segera.

Mohd Anuar dimasukkan ke HKL selepas dilapor pengsan pada pagi Sabtu lalu sebelum dikejarkan ke hospital itu untuk rawatan.

Setiausaha Sulit Kanan Mohd Anuar, Muhamad Maznillah Muhammad sebelum ini memaklumkan Ahli Parlimen Temerloh itu dinasihatkan doktor supaya mendapatkan rehat secukupnya.

Beliau juga mengesahkan Mohd Anuar yang juga Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak perlu menjalani sebarang pembedahan.

Mohd Anuar kini ditempatkan di Unit Neuro HWD (Neuro High Dependency Ward) Institut Kaji Saraf Tun Abdul Rahman (IKTAR) HKL.

Semalam, Mohd Anuar turut menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang melakukan kunjungan singkat ke wad berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 5:19 PM