Anwar ambil keputusan berasas lantik Zahid sebagai TPM.
Anwar ambil keputusan berasas lantik Zahid sebagai TPM.
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil keputusan berasas dengan menamakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai Timbalan Perdana Menteri I.

Bekas Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, keputusan itu diambil sungguhpun wujud nada kemarahan dalam kalangan rakyat.

"Semasa sarapan di Parit 19 tadi (semalam), pelbagai reaksi diterima mengenai kabinet YAB Perdana Menteri @anwaribrahim khususnya perlantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri yang rata-rata mengundang kemarahan.

"Namun, keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri tentunya berasas - ibarat kilat di dalam kilau, kabus di dalam hujan," katanya menerusi ciapan di Twitter beliau hari ini.

Ahmad Zahid dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri I dalam kerajaan perpaduan dan beliau juga akan memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau yang juga Presiden Umno pernah menjawat jawatan itu sebelum ini di bawah kerajaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula berkata, jika BN menyertai kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), Ahmad Zahid akan diberi peranan yang sama.

"Walaupun saya tidak bersetuju dengan pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pasti (Pengerusi PN, Tan Sri) Muhyiddin (Yasin) akan melakukan perkara yang sama jika BN berpihak kepadanya dan PN. Begitulah kuasa kleptokrat," katanya dalam ciapan di Twitternya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 12:32 PM