SUASANA luar wad yang menempatkan Mohd Anuar di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aswadi Alias.
SUASANA luar wad yang menempatkan Mohd Anuar di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aswadi Alias.
BERNAMA

TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dilapor pengsan semalam, kini berada dalam keadaan stabil.

Setiausaha Sulit Kanannya, Muhamad Maznillah Muhammad berkata, Ahli Parlimen Temerloh itu dinasihatkan doktor supaya mendapatkan rehat secukupnya.

“Datuk (Mohd Anuar) masih di hospital dan dalam keadaan stabil. Beliau boleh bercakap seperti biasa dan tidak mengalami sebarang masalah atau apa-apa komplikasi.

“Buat masa ini doktor belum memaklumkan bila beliau boleh keluar wad,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau juga mengesahkan Mohd Anuar yang juga Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) tidak perlu menjalani sebarang pembedahan.

Semalam, media melaporkan Mohd Anuar dikejarkan ke HKL selepas beliau pengsan dan dikatakan mengalami pendarahan otak tetapi doktor memutuskan bahawa tiada sebarang pembedahan perlu dijalankan ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 7:46 PM