LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.
Idris Musa


ORANG ramai menyambut baik penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan kerana ia meningkatkan tahap keselamatan golongan itu.

Guru, Norhayati Mohamad, 45, berkata, langkah kerajaan untuk mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan itu adalah wajar bagi tujuan keselamatan dan keselesaan.

“Bagi saya, ia adalah wajar, untuk keselamatan bayi serta keselesaan pemandu,” katanya.

Sementara itu, mekanik yang mahu dikenali sebagai Heng, 42, berkata, kerusi keselamatan itu sangat perlu bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya dapat memandu tanpa gangguan.

“Budak pun dapat duduk dengan selesa dan terjamin keselamatan mereka,” katanya.

Bagi jurujual, Luqman Kamaruzzaman, 23, dia akui penggunaan kerusi keselamatan itu bagus tapi untuk terus mewajibkannya dikhuatiri membebankan mereka berpendapatan rendah.

“Golongan marhaen mungkin akan menghadapi masalah untuk membelinya, kerana harga kerusi keselamatan itu bukannya murah.

“Lainlah jika harganya diturunkan supaya semua orang mampu membelinya,” katanya yang turut mencadangkan kerajaan memberikan galakan terlebih dulu.

Harian Metro hari ini melaporkan, kerajaan mewajibkan penggunaan CRS dalam kenderaan bermula 1 Januari depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipetik berkata, langkah itu perlu kerana statistik menunjukkan 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017 akibat nahas jalan raya.

Menurutnya, satu nyawa melayang setiap 84 minit akibat nahas jalan raya dan kanak-kanak adalah golongan yang turut sama berada di atas jalan raya yang terdedah kepada risiko cedera sekiranya terbabit nahas itu.

Berita berkaitan:

  • Kerusi keselamatan budak wajib mulai 2020 [METROTV]
  • Tunggu peraturan terperinci CRS
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 5:42 PM