TUJUH suspek yang ditahan pihak polis ketika serbuan di rumah di Batu 9, Jalan Keretapi Lama, Kapar, Klang, awal pagi, hari ini, ketika sidang media di IPD Klang Utara. FOTO Saddam Yusoff
TUJUH suspek yang ditahan pihak polis ketika serbuan di rumah di Batu 9, Jalan Keretapi Lama, Kapar, Klang, awal pagi, hari ini, ketika sidang media di IPD Klang Utara. FOTO Saddam Yusoff
Nur Lela Zulkipli


TUJUH sekeluarga ditahan di rumah di Kapar, Klang selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah yang dianggarkan bernilai RM118,500, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek terdiri daripada ibu, bapa, empat anak lelaki dan seorang menantu warga Myanmar berumur antara 31 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan yang bermula kira-kira 9 malam semalam hingga 12.30 tengah malam tadi, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya 3,600 biji pil Eramin 5 seberat 1 kilogram (kg), ketamin seberat 1.05 kg dan dadah yang tidak diketahui jenisnya seberat 198 gram.

Polis turut menyita kenderaan Mitsubishi Triton dan Perodua Myvi serta wang tunai RM500 sebagai bahan bukti siasatan.

“Tujuh sekeluarga ini didapati berselindung di sebalik perniagaan perkhidmatan mesin jentera bagi mengaburi mata pihak berkuasa, namun atas maklumat orang ramai, kita memulakan risikan atas pergerakan suspek yang mencurigakan.

“Kita mengambil masa seminggu untuk melakukan risikan sebelum memberkas semua suspek yang tinggal serumah dan pelbagai jenis dadah ditemui di dalam sebuah bilik dalam rumah berkenaan,” katanya dalam sidang media, di Klang, hari ini.

Katanya lagi, pihaknya kini sedang menyiasat sekiranya terdapat ahli keluarga suspek yang lain turut terbabit dalam sindiket pengedaran dadah itu.

“Berdasarkan maklumat awal, suspek memberitahu bekalan dadah diperoleh dari Kuala Lumpur untuk diedarkan di pusat hiburan dan penagih sekitar Klang dan Kuala Selangor.

“Kita akan menjalankan siasatan yang lebih mendalam untuk mengetahui dari mana dan siapa sumber suspek untuk mendapatkan dadah berkenaan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek dipercayai baru memulakan perkhidmatan mesin jentera kira-kira sebulan lalu yang mana suspek lelaki berperanan sebagai pemandu jentera berkenaan.

“Semua suspek lelaki mengaku bekerja sebagai pemandu jentera, namun kita akan siasat lagi dakwaan berkenaan bagi mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Nurulhuda berkata, kesemua suspek berkenaan direman selama tujuh hari bermula semalam hingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 4:51 PM