PETER menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki polis. FOTO Abdul Rahemang Taiming
PETER menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki polis. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming

POLIS sedang giat mengesan dan memburu lelaki dipercayai ketua kumpulan pecah rumah di daerah Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, lelaki dikenali sebagai Heng Mok Cheen @ Ah Cheen dari Taman Tawau, Jalan Chong Thien Vun itu mempunyai beberapa rekod jenayah.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dikehendaki polis berikutan tangkapan lapan ahli sindiket itu disyaki terbabit dengan kegiatan pecah rumah, peti besi dan curi sarang burung membabitkan kerugian lebih RM100,000 menerusi Ops Pintu, kelmarin.

“Dengan penahanan semua suspek itu polis percaya dapat menyelesaikan lebih 10 kes membabitkan pecah rumah, peti besi dan kecurian sarang burung di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di IPD Tawau, semalam.

Beliau berkata, sebelum itu laporan dibuat berhubung kejadian pecah rumah pada 21 September lalu.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menangkap suspek lelaki di kawasan Perindustrian Cowei Bay, kira-kira 6 petang kelmarin.

Susulan tangkapan itu, tujuh lagi ahli sindiket diberkas selain beberapa peralatan pecah rumah turut dirampas serta kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan tiga kereta dipercayai digunakan dalam beberapa kejadian pecah rumah di daerah ini.

“Tiga daripada suspek juga didapati positif dadah jenis Methapetamine dan semua suspek ditahan reman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 2:01 PM