Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Mana nak dapat harga rumah di tengah ibu kota berharga RM200,000 sedangkan saya dan adik beradik lain sudah tidak bekerja ditambah masing-masing yang tinggal di dalam rumah ini warga emas," kata penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu, Roziah Yusof, 58.

Roziah berkata, rumah flat didiami ini adalah warisan keluarganya dan menetap di situ sejak kecil lagi dan dia dan adik beradik buntu mahu tinggal di mana jika dipaksa berpindah.

Menurutnya, walaupun pihak pemaju ingin memberi wang pampasan RM200,000 namun ia dianggap tidak munasabah kerana masih tidak mampu untuk membeli kediaman lain.

"Tambahan saya perlu berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan jika berpindah jauh dari sini ia menyukarkan," katanya yang gagal menahan sebak ketika ditemui pemberita di rumah flatnya di sini, hari ini.

Sementara itu kakaknya, Zalaha Yusof, 63, berkata, mereka lima beradik tinggal di rumah itu sejak kecil dan tidak mempunyai harta atau rumah lain untuk diduduki.

"Kami bukan ingin menolak pembangunan di sini namun nilai pampasan diberikan amat tidak munasabah ditambah perjanjian antara pemaju dengan penduduk di sini juga masih samar," katanya.

Penduduk rumah teres pula, Saiful Azhar Ibrahim, 49, berkata, mereka bimbang bakal mengalami nasib sama seperti penduduk rumah flat di kawasan itu yang diberikan nilai pampasan rendah.

"Selepas ini giliran kami pula dipanggil untuk mendengar keputusan nilai pampasan mengikut pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah, 1960. Kami risau kemungkinan kami juga dinilai rendah seperti penduduk rumah flat.

"Kebanyakan kami penduduk rumah teres sudah ubah suai rumah kepada dua ke tiga unit. Kalau ditawarkan di bawah RM500,000 ke mana kami nak pergi," katanya.

Menurutnya, dia bukan mahu kehidupan mewah namun selesa tinggal di sini sebab terdapat banyak kemudahan dan rumah bergeran.

Pengerusi Persatuan Komuniti Kampung Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah berharap, rintihan penduduk di sana diberikan perhatian oleh pihak berwajib.

"Sebanyak 30 peratus penduduk yang menolak tawaran pemaju pada lima tahun lalu disebabkan perjanjian didakwa berat sebelah.

"Pemaju datang lima tahun lalu untuk tawar pindah ke tempat lain, tetapi perjanjian mereka berat sebelah dan tiada hitam putih. Kalau mereka bankrap, kami tak boleh buat apa-apa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB), Datuk Affendi Zahari berkata, pihaknya berharap isu itu diselesaikan secara 'win-win situation' dan akan membantu penduduk mendapatkan pampasan yang terbaik.

"Semua peraturan pengambilan tanah dan keputusan mengikut peraturan dan dilakukan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan tidak membabitkan orang luar.

"Jika saya sebagai penerima, saya rasa (pampasan) itu kurang. Saya bagi pihak PKB tidak teragak-agak bersama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) berjumpa dengan pemaju serta wakil penduduk untuk mencari pendekatan 'win-win' antara kedua belah pihak," katanya.

Katanya, setakat ini sebanyak tiga kali pertemuan bersama pemaju dan pejabat tanah dibuat membincangkan isu pembangunan itu.

Pembangunan semula yang dirancang itu membabitkan kawasan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman, iaitu Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian.

Difahamkan 70 peratus pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu dan menurunkan tandatangan.

Pada Ogos lalu, segelintir penduduk yang belum menurunkan tandatangan menerima notis siasatan di bawah Borang F, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang diminta hadir secara giliran pada 23 hingga 26 Ogos untuk diambil keterangan penilaian oleh Pejabat Tanah dan Galian.

Difahamkan, penduduk rumah Flat PKNS itu mendapat keputusan nilai pampasan antara RM200,000 hingga RM250,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 3:46 PM