Gambar Nurul Jannah bersama keluarganya. FOTO Hairul Anuar Rahim
Gambar Nurul Jannah bersama keluarganya. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


“PELBAGAI ikhtiar saya lakukan termasuk solat hajat berjemaah di lima masjid namun masih belum menemui jawapan,” kata Ghazali Talib, 56, menceritakan usahanya untuk mengesan anak perempuannya yang hilang sejak 15 hari lalu.

Katanya, anak perempuannya, Nurul Jannah Ghazali, 27, disedari hilang di rumah ibu mentuanya di Taman Impian Emas, Johor Bahru pada 5 pagi, 24 September lalu.

“Kejadian itu disedari suaminya, Mohd Azuwan Mohd Zali, 33, ketika bangun tidur pada 5 pagi untuk bersiap menghantar anak sulung mereka berusia tujuh tahun ke sekolah.

“Ketika itu, Nurul Jannah yang berbaju kurung hijau dan berseluar panjang hitam tanpa bertudung hilang dipercayai keluar rumah tanpa selipar,” katanya ketika mengunjungi pejabat NSTP Bandar Baru Uda hari ini.

Ghazali menunjukkan gambar dan laporan polis mengenai Nurul Jannah yang hilang sejak 15 hari lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ghazali menunjukkan gambar dan laporan polis mengenai Nurul Jannah yang hilang sejak 15 hari lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim

Ghazali berkata, pelbagai ikhtiar dilakukan bagi menjejaki anaknya itu yang juga penghidap sawan sejak berusia 10 tahun.

“Kami berikhtiar keliling taman perumahan rumah ibu mentua Nurul Jannah, namun tidak berhasil dan usaha itu diulangi hampir setiap hari.

“Nurul Jannah dikurniakan tiga anak dan selama ini sudah beberapa kali dia menghilangkan diri kerana ada masalah ingatan.

“Sebelum ini, dia hilang beberapa kali, namun dihantar pulang oleh orang ramai yang mengenalinya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kali ini tempoh kehilangannya agak panjang sehingga lebih setengah bulan berbanding sebelum ini.

Menurutnya, laporan polis berhubung kehilangan anak ketiga daripada lapan beradik itu dibuat di Balai Polis Skudai pada 6.30 petang, 24 September lalu.

“Hasil cadangan saudara mara serta rakan-rakan, solat hajat dilakukan di lima masjid di sekitar bandar ini.

“Selain itu, kami berikhtiar menerusi kaedah rawatan tradisional,” katanya.

Menurutnya, dia sedih melihat tiga cucunya yang mengharapkan kepulangan ibu mereka ke pangkuan keluarga.

“Kehilangan ibu mereka dirasai tiga anaknya yang berusia dua, enam dan tujuh tahun.

“Nurul Jannah mempunyai masalah sawan sejak berusia 10 tahun dan terpaksa berhenti sekolah ketika berusia 14 tahun akibat kerap berdepan penyakit itu.

“Dia bernikah ketika berusia 18 tahun dan kami berharap penyakitnya hilang selepas bersalin,” katanya.

Bagaimanapun, kesihatan Nurul Jannah terjejas selepas melahirkan bayi sulung hingga ingatannya ‘kosong’ mengakibatkan urusan anak-anak dibantu ibu mentuanya.

Menurutnya, dia berikhtiar memasang poster Nurul Jannah dan merayu orang ramai yang menemui wanita itu menghubunginya di talian 017-7235925.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 5:25 PM