FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

IMAM, bilal dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Johor diingatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti politik termasuk yang membabitkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri Tosrin Jarvanthi itu berkata, larangan itu termaktub di bawah Enakmen Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

“Saya mengingatkan imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid dan surau di Johor supaya tidak sama sekali membabitkan diri dalam apa juga kegiatan ceramah dan kegiatan parti politik sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dan seterusnya kerana adalah dilarang sama sekali,” kata beliau kepada pemberita di Pontian, hari ini.

Beliau mengulas mengenai adanya aduan mengenai pembabitan segelintir AJK masjid dan surau dalam kempen politik.

Katanya, perkara itu sudah dimaklum kepada mereka yang terbabit melalui pekeliling.

Beliau menjelaskan sekiranya ada yang didapati melanggar larangan berkenaan, pihaknya akan mengambil tindakan serta merta seperti penarikan semula tauliah mereka sebagai imam, bilal atau ajk masjid dan surau.

Terdahulu, Tosrin menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Program Insaniah Kemasyarakatan ‘Harapan Asnaf Dengan Zakat di Masjid Jamek Kampung Penerok, di sini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 3:10 PM