Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menghadkan jumlah jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula esok hingga 7 Jun.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin di sini, hari ini.

Hanya 50 jemaah dalam kalangan ahli kariah sahaja termasuk ahli jawatankuasa pengurusan kariah dan pegawai masjid dan surau jumaat, dalam pelaksanaan solat Jumaat dan solat lima waktu dalam tempoh PKP 3.0.

Menurut kenyataan itu, bagi surau seramai 20 orang jemaah dalam kalangan ahli kariah sahaja termasuk ahli jawatankuasa pengurusan kariah dan pegawai surau.

Katanya, jawatankuasa pengurusan masjid dan surau boleh menyediakan ruang solat musafir dengan syarat mesti menyediakan petugas untuk memastikan jemaah yang musafir patuh prosedur operasi standard (SOP).

"Sekiranya pihak jawatankuasa tidak dapat menyediakan petugas maka ruang solat tersebut hendaklah ditutup.

"Jawatankuasa masjid dan surau seperti imam, bilal, noja dan para jemaah hendaklah membawa sejadah bersaiz besar sendiri dan tidak berkongsi sejadah dengan jemaah lain. Mereka juga perlu memastikan bahawa masjid dan surau jumaat hendaklah disanitasi selepas solat Jumaat termasuk alat pembesar suara imam dan bilal.

"Bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan adalah majlis Membudayakan Al-Quran, bacaan Surah Yasin dan tahlil, wirid Khaujakan, zikir, Asmaul Husna, selawat, ratib Al-Attas bacaan surah Al-Mulk dan surah Al-Kahfi dengan syarat kehadiran mengikut kapasiti yang dibenarkan sahaja, tiada pembabitan jemaah luar dan tiada jemputan orang luar.

"Segala keperluan hendaklah dibawa sendiri dan tidak berkongsi dengan jemaah Iain. Bagi Kelas Takmir, Kelas Al-Quran, kuliah umum dan khas secara fizikal adalah ditangguhkan sementara, sehingga suatu arahan Iain dimaklumkan. Kelas pengajian secara atas talian adalah digalakkan supaya program pengimarahan masjid dan dakwah dapat diteruskan," katanya.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan pemantauan pihak berkuasa didapati masih terdapat dikalangan jemaah yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Katanya ada yang tidak memakai pelitup muka, tidak membawa sejadah bersaiz besar, tidak menjaga penjarakan fizikal satu meter, tidak mengambil suhu badan dan jemaah yang kurang sihat hadir ke masjid dan surau.

"Sehubungan itu, pihak jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau hendaklah bertindak tegas dengan tidak membenarkan jemaah yang tidak patuh SOP masuk ke dalam masjid dan surau serta menghubungi polis sekiranya diperlukan.

"Sekiranya terdapat masjid dan surau yang diarahkan tutup disebabkan berlaku kes Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka ahli jemaah di masjid dan surau berkaitan hendaklah mendirikan solat lima waktu di rumah masing-masing dan menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor.

"Mereka juga tidak dibenarkan solat di masjid dan surau yang lain kerana dikhuatiri akan berlaku penularan wabak Covid-19 daripada jemaah yang tidak mempunyai gejala. Begitu juga mereka yang sedang dalam tempoh kuarantin hendaklah menunaikan solat di kediaman masing-masing dan dilarang menunaikan solat di masjid dan surau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 5:20 PM