Hairulazim Mahmud


KERAJAAN menubuhkan Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) untuk menggalakkan orang ramai bersama membantu dalam pengurusan bencana negara, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tabung bantuan itu akan dapat membantu kerajaan menyelaras bantuan yang disumbangkan secara telus oleh pelbagai pihak termasuk individu.

“Suka saya maklumkan pada masa ini, pengurusan bencana umumnya bersumberkan peruntukan melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

“Untuk makluman semua, pada masa ini, sumbangan bantuan bencana dikendalikan oleh pelbagai pihak dan tiada penyelarasan dibuat.

“Kerajaan bersetuju menubuhkan Tabung Bantuan Bencana oleh itu, pada hari ini, saya ingin menyebarluaskan kewujudan tabung ini bagi menggalakkan sumbangan swasta, badan sukarela serta orang perseorangan atas prinsip pengurusan bencana negara adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau bercakap demikian selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019 dengan tema Kesiapsiagaan Bencana, Tanggungjawab Bersama di Putrajaya hari ini.

TBBN dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sumbangan boleh disalurkan kepada akaun 16010001138714 (Bank Muamalat-Tabung Bantuan Bencana Negara).

Dr Wan Azizah berkata, sumbangan berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun KWABBN dan penggunaan sumbangan daripada kempen itu akan digunakan selaras dengan tujuan yang dinyatakan oleh Surat Ikatan Amanah KWABBN.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sedang meneliti mewujudkan dana terikat bagi mengurus bencana angkara manusia.

Beliau berkata, dana itu akan meningkatkan kebertanggungjawaban industri bagi mengelak tindakan tidak bertanggungjawab yang menjadi punca sesuatu bencana seperti kebakaran, jerebu dan pencemaran bahan kimia.

“Pelaksanaan dana ini juga akan menyebabkan pemilik industri bertanggungjawab membiayai kos operasi dan menguruskan dan memulih bencana yang berlaku.

“MESTECC akan meneliti mengenai pelaksanaan dana itu dan termasuk segala perinciannya,” katanya.

Mengulas peningkatan pertuduhan kes sumbang mahram di mahkamah, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, banyak inisiatif sudah dilakukan sebagai advokasi bagi mengurangkan jenayah itu.

Beliau berkata, antaranya, video pendidikan seks bagi kanak-kanak yang boleh ditonton melalui YouTube selain pelaksanaan Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Sumbang mahram sangat berkait dengan peningkatan akhlak dan iman yang mana tidak sepatutnya perkara begini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 2:48 PM
DR Wan Azizah menerima Clothing Bank for Disaster Relief (CB4DR) daripada Timbalan Pengerusi Kasih Malaysia, Datin Seri Shamshida Taharin dan Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan, Datin Seri Jamaliah Othman (kanan) pada majlis pelancaran TBBN dan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Wan Azizah menerima Clothing Bank for Disaster Relief (CB4DR) daripada Timbalan Pengerusi Kasih Malaysia, Datin Seri Shamshida Taharin dan Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan, Datin Seri Jamaliah Othman (kanan) pada majlis pelancaran TBBN dan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019. FOTO Luqman Hakim Zubir