Banjir di Terengganu yang berlaku pada 2017 dijangka berulang bulan depan. FOTO Arkib NSTP
Banjir di Terengganu yang berlaku pada 2017 dijangka berulang bulan depan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KELANTAN, Terengganu dan utara Semenanjung dijangka dilanda banjir bulan depan, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor diramalkan mengalami banjir pada Disember manakala Johor, Pahang dan barat Sarawak pada Januari 2020 serta barat Sarawak Februari 2020.

Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat di Putrajaya hari ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan NADMA berhubung mesyuarat itu, Jabatan Meteorologi meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) akan bertiup bermula hujung Oktober ini hingga Mac depan dengan tahap banjir dijangka hampir sama dengan keadaan yang berlaku pada 2016 dan 2017.

Sehubungan itu, Dr Wan Azizah mengarahkan agensi di semua peringkat daerah, negeri dan persekutuan memastikan persediaan sumber manusia, aset, pusat pemindahan sementara, depoh, pangkalan hadapan dan bekalan sokongan sentiasa berada pada tahap optimum agar tindak balas sepanjang musim itu berjalan lancar.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan turut memutuskan supaya cuti pegawai dan anggota yang terbabit dalam pengurusan bencana dibekukan mulai November ini hingga Februari 2020.

Ia membabitkan pegawai agensi pengurusan bencana, pegawai pejabat daerah dan negeri, anggota polis, tentera, bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Bagaimanapun kelonggaran terhadap pembekuan cuti itu tertakluk kepada budi bicara Ketua Jabatan masing-masing.

Secara keseluruhannya, 80,672 pegawai dan anggota daripada semua agensi terbabit berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya.

Mereka dibantu 6,490 aset serta jentera seperti bot, lori dan ambulans serta 28,552 khemah kubikel untuk kegunaan pusat pemindahan selain Kementerian Kesihatan juga berada dalam keadaan bersiap siaga daripada aspek kemudahan kesihatan.

Untuk musim tengkujuh kali ini, kerajaan juga memperuntukkan RM4 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi perbelanjaan operasi bencana dengan RM100,000 akan diagihkan kepada setiap agensi terbabit.

Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengatur gerak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir yang kini berjumlah 5,482 bagi menampung kapasiti 1,626,368 mangsa.

Sejumlah 6,044 pegawai, 165 kaunselor, 942 Pasukan Sokongan Psikologi (PST) dan 11,559 sukarelawan JKM akan digerakkan bila perlu dan semua depot serta stor di peringkat negeri serta daerah juga diarah untuk selesai membuat penambahan stok sebelum bermulanya MTL.

Terdapat tujuh Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), 162 stor bencana negeri, daerah, mini depot kontena dan 528 pangkalan hadapan yang bersedia untuk menyampaikan perkhidmatan.

NADMA juga akan meningkatkan sistem amaran bencana iaitu penyampaian mesej termasuk melalui media sosial kepada komuniti yang berisiko tinggi berdepan bencana itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:46 PM