DR MAHATHIR (dua dari kiri) ketika melancarkan WKB2030. FOTO Asyraf Hamzah.
DR MAHATHIR (dua dari kiri) ketika melancarkan WKB2030. FOTO Asyraf Hamzah.
Idris Musa dan Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Nabil Basaruddin


WAWASAN Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) lebih baik berbanding Wawasan 2020 kerana memperkenalkan visi perkongsian kekayaan untuk semua, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, mustahil untuk Malaysia mencapai apa yang dirangka dalam Wawasan 2020 yang tempohnya hanya berbaki kurang daripada setahun lagi.

Menurutnya, Wawasan 2020 tidak dapat dicapai sepenuhnya kerana kerajaan terdahulu hanya memberi fokus untuk meningkatkan pendapatan menerusi pemberian gaji yang tinggi dan bantuan lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini usaha untuk mencapai Wawasan 2020 tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

“Jika kerajaan berhentikan bantuan (diberikan) mereka akan terus miskin. Tapi, kali ini kita beri latihan dan peluang supaya mereka dapat mencapai kejayaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan WKB2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan hanya mereka yang memiliki kebolehan dan berjaya membuktikan kemampuan akan diberikan lesen, kontrak serta permit import (AP).

Beliau berkata, pendekatan terbaru itu bagi mengelak pemegang lesen, kontrak dan AP tidak menjualnya kepada pihak lain seterusnya memperoleh keuntungan mudah.

“Kebolehan mereka akan dinilai sebelum kontrak, lesen, AP diberikan bagi elak ia dijual kepada pihak lain.

“Kerajaan mahu memberikan lesen, kontrak kepada mereka yang ikhlas berniaga. Jika kerajaan dapati ia dijual maka kontrak akan terbatal dengan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan akan membantu golongan miskin yang dikesan gagal menguruskan kewangan dengan baik untuk terus berdaya saing.

Katanya, golongan miskin hanya menggunakan wang sebagai alat untuk mereka mendapatkan sesuatu gagal menjadikan ia modal untuk mencipta kekayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 1:06 PM