FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, atas pertuduhan mencederakan dan mengugut bekas isterinya, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Shahirul Syafiq Shaharin, 32, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Saidina Ali.

Shahirul didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera dengan menampar bahagian kepala sebelah kiri dan menumbuk pipi kiri bekas isterinya berusia 25 tahun.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum iaitu setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah terhadap isterinya dengan berkata ‘Sekiranya aku nampak kau keluar dengan jantan lain dalam tempoh edah ini, aku bunuh satu keluarga kau. Aku akan salahkan abah kau kerana tak jaga kau’.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shahirul didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Ukay Perdana, pada 10.30 malam, 26 September lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan mengenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa.

Majistret menetapkan 15 November depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 2:48 PM