Tertuduh, Mohd Afandi Hasnan, 34 dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya yang berusia 62 tahun bagi mendapatkan wang dalam kejadian di daerah Melaka Tengah pada 1 Ogos lalu. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Tertuduh, Mohd Afandi Hasnan, 34 dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya yang berusia 62 tahun bagi mendapatkan wang dalam kejadian di daerah Melaka Tengah pada 1 Ogos lalu. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Amir Mamat


Ayer Keroh: Seorang lelaki tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, tadi, atas tuduhan cuba menakutkan kakaknya selain mengugut mahu mencederakan ibu mereka.

Tertuduh, Mohd Afandi Hasnan, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya berusia 62 tahun dengan mengatakan 'kalau aku dapat engkau aku tarik macam babi, aku kerjakan engkau, aku terajang kau, aku pijak muka kau, aku minta duit kau tak bagi', dengan tujuan untuk menakutkan kakaknya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di hadapan sebuah rumah di Jalan Raja Haji 2, kira- kira jam 10 malam pada 1 Ogos lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman mencadangkan jaminan RM5,000 diberikan kepada tertuduh berserta syarat tambahan hanya ibu dibenarkan sebagai penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Amritpal Singh, merayu jaminan rendah diberikan kepada anak guamnya dengan alasan tertuduh tiada pekerjaan tetap.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 beserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dengan apa-apa medium serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 7:03 PM