Paizal Muhammad Ali dihukum penjara 3 tahun selepas mengaku bersalah membuat ugutan jenayah keatas bekas isterinya. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Paizal Muhammad Ali dihukum penjara 3 tahun selepas mengaku bersalah membuat ugutan jenayah keatas bekas isterinya. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Pemandu lori dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, yang didakwa mengugut hendak membakar rumah bekas isterinya, Jumaat lalu.

Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Paizal Muhammad Ali, 33, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan iaitu 23 September lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah terhadap bekas isterinya yang berusia 34 tahun dengan menyimbah minyak diesel dan mengugut mahu membakar rumah.

Kesalahan itu dilakukan di pada Jumaat, 22 September kira-kira jam 9.30 malam, di Kampung Membalua, Batu 10 Jalan Apas dekat sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dalam keadaan marah bertindak membuat ugutan jenayah selepas berang apabila bekas isterinya tidak membenarkan untuk bertemu anak bongsu mereka.

Tertuduh kemudiannya bertindak menyimbah minyak diesel pada bahagian tepi tingkap rumah sambil mengeluarkan kata-kata ugutan "kalau kau tidak keluar rumah, aku bakar rumah ini,".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 5:37 PM