Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Lapan individu termasuk dua anak kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan mengeluarkan perkataan kesat untuk provokasi di Kompleks Parlimen, akhir tahun lalu.

Firdaus Tajuddin, 34, Faizal Tajuddin, 42, Ariffin Mohamed Ali, 32, Erwan Halmi, 36, Azmir Ahmad, 41, Sapiah Aini Sulaiman, 48, Norbaiti Taha, 54 dan Hasnah Md Razali, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama menggunakan perkataan kesat iaitu 'Kenapa Kau Kata Bapa Aku Sial', 'Khadam DAP' dan 'Pengkhianat Melayu'.

Mereka didakwa berkelakuan dengan cara mengugut yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dengan niat untuk melakukan provokasi yang boleh memecahkan keamanan.

Semua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di parkir, hadapan Dewan Rakyat, Kompleks Parlimen, di sini, pada jam 11.15 pagi, 24 November 2016.

Bagi perbuatan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Wahid membenarkan semua tertuduh dijamin RM500 dan menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 5:42 PM