Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TIGA pekerja subkontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melecur akibat terkena renjatan elektrik sedang menjalankan kerja pembaikan kabel di hadapan sebuah kilang di Jalan Perusahaan Tiga Kamunting, Taiping, hari ini.

Mangsa, Muhamad Syawal Che Rose, 30, melecur 50 peratus pada tubuhnya, manakala dua rakan sekerjanya, G Muniandy, 39, dan Ahmad Nor Fitri Saidin, 21, masing-masing melecur 20 serta 10 peratus.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika jentera yang digunakan untuk kerja-kerja mengorek tanah mengenai kabel di situ, mengakibatkan ia meletup secara tiba-tiba.

Akibat letupan itu, tiga mangsa yang berada di lokasi berkenaan terkena renjatan elektrik dan mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika seramai 12 pekerja dari sebuah syarikat yang dilantik TNB sedang menjalankan kerja mengorek lubang menggunakan dua jengkaut di hadapan kilang terbabit.

Menurutnya, jengkaut yang digunakan dikatakan mengenai kabel TNB di kawasan itu menyebabkan tiga mangsa yang berada berhampiran terkena percikan api.

“Difahamkan, pihak kontraktor tidak mengetahui kedudukan kabel hidup itu kerana tiada sebarang tanda amaran di sekitar kawasan terbabit.

“Akibat kejadian itu, ketiga-tiganya melecur dan dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Berita berkaitan

3 melecur direnjat elektrik

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 5:25 PM