GURU menemani tiga murid Tahun 1 yang memulakan sesi persekolahan hari ini. FOTO  NSTP
GURU menemani tiga murid Tahun 1 yang memulakan sesi persekolahan hari ini. FOTO NSTP
Goh Pei Pei


PROSES pendaftaran hari pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Beliong di Samarahan, tenang kerana hanya menyambut kehadiran tiga murid baharu untuk memasuki Tahun Satu, hari ini.

Kehadiran tiga murid terbabit, Amanda Raisya Saiful, Nur Rizka Nasuha Syukri dan Nurfathia Adilla Delisha Mohammad Hamizan menjadikan jumlah keseluruhan murid sekolah berkenaan kini seramai 23 orang.

Hanya seorang murid SJK Chung Hua Beliong itu berbangsa Cina, selebihnya adalah anak masyarakat Melayu yang tinggal di kampung berhampiran.

Guru Besar sekolah terbabit, Kho Hui Ling berkata, walaupun ada dua lagi Sekolah Kebangsaan (SK) berdekatan, segelintir ibu bapa menghantar anak ke SJK Chung Hua Beliong dengan harapan anak mereka dapat menguasai bahasa tambahan iaitu Mandarin dan mampu membaca serta menulis dalam bahasa Cina.

“Ada juga yang menganggap mudah bagi guru di sini untuk mendidik anak mereka jumlah murid yang sedikit.

“Namun bagi kami, ia masih menjadi tugas yang mencabar untuk memastikan anak Bumiputera itu dapat bercakap dan membaca dengan bahasa Mandarin dengan lancar,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Hui Ling berkata, mereka bangga apabila murid sekolah berkenaan berjaya berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

Sekolah berkenaan ditubuhkan pada tahun 1964, untuk anak-anak penduduk Cina, bagaimanapun, disebabkan kekurangan infrastruktur dan pembangunan ekonomi, majoriti keluarga Cina berhijrah ke bandar menyebabkan jumlah murid semakin berkurangan.

Bagaimanapun, sekolah terbabit terus beroperasi dan menerima anak masyarakat Bumiputera sebagai pelajarnya.

Sementara itu, murid baharu itu gembira memulakan persekolahan hari ini, meskipun hanya mereka bertiga berada dalam kelas Tahun Satu.

Mereka jelas belum memahami bahasa Mandarin dan guru terpaksa menggunakan bahasa Melayu untuk memberi penerangan kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 3:10 PM