Laporan Harian Metro mengenai pencerobohan tanah di Kompartmen 19 Hutan Simpan Gunung Inas, Kulim.
Laporan Harian Metro mengenai pencerobohan tanah di Kompartmen 19 Hutan Simpan Gunung Inas, Kulim.
Noorazura Abdul Rahman


JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) sedang melengkapkan kertas siasatan bagi mendakwa lelaki yang menceroboh Kompartmen 19 Hutan Simpan Gunung Inas, Kulim.

Pengarah JPNK Roslan Rani berkata, pihaknya sudah menerima surat serta salinan geran daripada lelaki tetapi semakan mendapati sebahagian tanah yang diteroka berada dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

Menurutnya, ia termasuklah pada bahagian dibina banglo kayu serta kandang haiwan seperti landak, rusa, burung unta dan kolam ikan.

“Berdasarkan semakan awal, hanya 10 hektar daripada 35 hektar tanah yang diteroka itu adalah milik lelaki berkenaan, jadi sebahagian besarnya adalah dalam HSK dan kita akan teruskan siasatan sebelum mendakwa suspek ke mahkamah.

“Kita juga akan semak dengan Pejabat Tanah Daerah dan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) untuk pastikan bilakah geran tanah dikeluarkan kepada lelaki itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Darulaman dengan kerjasama JPNK di Kubang Pasu hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, pertindihan kawasan tanah milik kerajaan dan persendirian tidak berlaku dalam isu terbabit.

Katanya, ia cuma memerlukan penelitian dan laporan daripada Pejabat Tanah serta JUPEM.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan hasrat kontraktor berusia 43 tahun untuk menanam kelapa sawit dan durian Musang King di hutan berkenaan punah apabila ditahan bersama seorang pekerjanya pada Khamis.

Dalam serbuan kira-kira 4 petang bersama anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) turut merampas adalah 36 ekor rusa, tujuh ekor landak, tiga ekor burung unta serta empat ekor kuda yang diternak dan dipelihara secara haram di dalam hutan berkenaan.

Selepas ditahan dan dibawa ke Balai Polis Mahang, Kulim untuk diambil keterangan, lelaki itu dilepaskan dengan jaminan polis.

Lelaki berkenaan dipercayai turut menjadikan kawasan yang diceroboh sebagai kawasan eko pelancongan berikutan turut membina chalet dan surau untuk pengunjung.

Berita berkaitan

’Zoo' lelaki keba

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 3:07 PM