KUDA.
KUDA.
LANDAK.
LANDAK.
RUSA antara haiwan yang terdapat di TBNSA.
RUSA antara haiwan yang terdapat di TBNSA.

Shah Alam: Sebanyak 10 spesies haiwan di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA), di sini, yang menjadi antara tarikan utama pengunjung menerima penjagaan rapi bagi memastikan ia dalam keadaan sihat.

Ketua Seksyen Pendidikan Botani, Botanikal dan Komunikasi Korporat TBNSA Mohd Fazil Wel berkata, antara haiwan yang terdapat di taman itu ialah burung kakak tua, landak, tuntong, rusa, angsa, iguana, burung helang, kuda padi, merpati dan burung merak.

“Selain dipamerkan kepada pengunjung, haiwan ini digunakan untuk penyelidikan kakitangan atau pelajar veterinar.

“Disebabkan itu, kita akan memastikan penjagaannya tidak diabaikan bagi membantu kajian mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, pihaknya sangat menitikberatkan aspek kebajikan haiwan membabitkan makanan, kesihatan serta kebersihan secara menyeluruh sebelum dibuka kepada pengunjung setiap hari.

Katanya, memberi makanan secukupnya sangat penting dan semua haiwan diberikan makanan khas bagi mengelakkan daripada mendapat penyakit.

Menurutnya, haiwan itu diberi makan dua kali sehari mengikut sukatan ditetapkan veterinar serta bergantung kepada keperluan.

Sehubungan itu, Mohd Fazil berkata, pihaknya terkejut apabila wujud dakwaan kononnya haiwan di TBNSA terabai.

“Kami sangat meneliti setiap haiwan termasuk tumbuhan dan jika terdapat dakwaan sedemikian ia mengecewakan kerana kami sudah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pengunjung tidak boleh meletakkan harapan tinggi mahu melihat taman haiwan ini sebagai sebuah zoo kerana fokus utama adalah untuk penyelidikan dan pihak kami menggunakan sepenuhnya dana Tabung Amanah hasil sumbangan orang ramai untuk kemudahan serta penyelenggaraan TBNSA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 7:51 AM