ANTARA haiwan yang diternak oleh suspek yang menceroboh Hutan Simpan Kekal di di Kompartmen 19, Hutan Simpan Gunung Inas, di Mahang. FOTO Ihsan JPNK
ANTARA haiwan yang diternak oleh suspek yang menceroboh Hutan Simpan Kekal di di Kompartmen 19, Hutan Simpan Gunung Inas, di Mahang. FOTO Ihsan JPNK
Noorazura Abdul Rahman


HASRAT kontraktor untuk menanam kelapa sawit dan durian Musang King di Kompartmen 19, Hutan Simpan Gunung Inas, punah apabila ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bersama seorang pekerjanya, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 4 petang bersama anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), turut dirampas adalah 36 ekor rusa, tujuh ekor landak, tiga ekor burung unta serta empat ekor kuda yang diternak dan dipelihara secara haram di dalam hutan berkenaan.

Pengarah JPNK, Roslan Rani berkata, kontraktor berusia 43 tahun itu ditahan ketika sedang berehat di rumah kayu yang dibina dalam hutan terbabit, manakala pekerjanya yang juga warganegara Bangladesh berusia 46 tahun sedang membina petempatan chalet di kawasan itu.

Katanya, serbuan dilakukan selepas JPNK menerima maklumat awam mengenai kegiatan lelaki terbabit dan risikan dilakukan selama seminggu untuk meneliti kegiatan suspek.

“Anggota JPNK terpaksa meredah hutan untuk melakukan intipan dari atas bukit sebelum serbuan dilakukan. Semasa serbuan, terdapat tiga pekerjanya sedang membina chalet, namun dua daripada mereka berjaya melarikan diri ke dalam hutan berkenaan.

“Suspek yang dikatakan ‘kebal’ sebelum ini telah membuat pagar di tanah berkenaan bagi mengelakkan orang awam dan penguatkuasa menghidu kegiatannya, kawasan hutan berhampiran Mahang, Kulim itu dibersihkan dan akan dijadikan kawasan pertanian dan ternakan haiwan,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Selain itu, Roslan berkata, rumah yang dibina dalam hutan berkenaan adalah daripada jenis kayu yang bernilai tinggi.

Katanya siasatan awal mendapati kawasan itu sudah diceroboh dan diteroka sejak lima tahun lalu dengan anggaran kerugian melebihi RM500,000.

“Kita turut merampas sebuah jengkaut yang digunakan untuk meratakan hutan berkenaan selain sebuah lori dan pacuan empat roda Jenis Toyota Hilux manakala haiwan ternakan akan diserahkan kepada PERHILITAN untuk disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Dua lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Mahang sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Roslan berkata, kes itu akan disiasat mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 iaitu Seksyen 32 (1) kerana menduduki dan menjalankan aktiviti di dalam Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, lelaki terbabit turut berdepan siasatan mengikut Seksyen 81(1)(b) kerana menebang pokok dengan membawa hukuman yang sama.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 81(1)(e) kerana membersih atau membajak tanah dalam Hutan Simpanan Kekal untuk tanaman serta Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

“Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:59 AM