PEMBINAAN Jambatan Semenyih menghubungkan Pekan Semenyih dengan kawasan perumahan berhampiran masih terbengkalai. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
PEMBINAAN Jambatan Semenyih menghubungkan Pekan Semenyih dengan kawasan perumahan berhampiran masih terbengkalai. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Rosyahaida Abdullah


BUKAN satu atau dua, tetapi lebih 10 perkampungan dan taman perumahan di sini, terjejas berikutan projek melebar jambatan bersebelahan pejabat Pos Malaysia yang menghubungkan penduduk dengan pekan Semenyih masih terbengkalai.

Sepatutnya siap pada Jun 2019 sebagaimana dijanjikan sebelum ini, pengguna kini menggunakan laluan alternatif sejak lebih setahun lalu susulan ia ditutup sepenuhnya untuk kenderaan sementara projek berjalan.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Nora berkata, lebih setahun dia terpaksa berdepan kesesakan teruk di laluan alternatif yang sempit dan membahayakan orang ramai.

Katanya, paling merisaukan apabila lori dan treler turut sama menggunakan laluan terbabit khususnya pada waktu malam untuk ke kawasan kilang di Sungai Lalang.

“Laluan kecil, bersimpang-siur, mereka tidak peduli. Mungkin ada laluan alternatif lain tetapi lebih jauh. Siapa yang ingin jauh kalau ada yang dekat.

“Dulu banyak juga kedai di sekitar jambatan ini namun apabila projek nampak macam tertangguh, banyak kedai ditutup. Kami pengguna pun susah nak berurusan sebab macam-macam kedai dah tutup dan beralih tempat.

“Siapa yang tidak sukakan pembangunan tetapi biarlah siap tepat pada masanya. Kami juga ada komitmen masa kami, tertangguh begini sangat menyusahkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Zakaria Hanafi berkata, projek berkenaan dirasmikan awal tahun lalu dan sepatutnya siap Jun tahun ini.

Bagaimanapun jelasnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat melanjutkan tempoh siap kepada 17 Oktober 2019.

“Saya sudah melawat jambatan berkenaan semalam dan apa yang saya nampak, kerja pembinaan tidak berlaku, tiada pekerja pun di situ, seolah-olah projek terbengkalai. Saya khuatir ia tidak sempat siap pada bulan depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:30 AM