PEKERJA kontraktor memindahkan tiang elektrik bagi memberi laluan kerja penimbusan tanah untuk melebarkan jalan sedia ada yang terbabit dalam projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di kawasan Kimanis. FOTO EDMUND SAMUNTING.
PEKERJA kontraktor memindahkan tiang elektrik bagi memberi laluan kerja penimbusan tanah untuk melebarkan jalan sedia ada yang terbabit dalam projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di kawasan Kimanis. FOTO EDMUND SAMUNTING.
Mohd Izham Unnip Abdullah


DAKWAAN pembangkang projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah terbengkalai adalah tidak benar sebaliknya masih ada kontraktor melakukan kerja.

Tinjauan bermula di Membakut hingga ke Kimanis di sini, mendapati kerja pembinaan terutama penimbusan tanah dan memindahkan serta memasang tiang utiliti ada dilaksanakan, walaupun tidak menyeluruh.

Kebanyakan kerja bagi laluan di kawasan Parlimen Kimanis ketika ini masih membabitkan kerja menimbus tanah bagi membesarkan laluan sedia ada berikutan keadaan berpaya di sepanjang laluan berkenaan.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati ada beberapa lokasi didapati kelihatan terbiar, namun difahamkan kontraktor yang melaksanakannya masih dalam proses menyusun semula operasi pembinaan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Richard Jomiji Kinsil, mengesahkan tiada isu terbengkalai yang membabitkan projek Pan Borneo Sabah.

“Pembinaan sedang berjalan sekarang, tiada lagi isu terbengkalai. Pembinaan terhenti sekejap disebabkan syarikat rakan penyampai projek (PDP) tidak mahu menandatangani perjanjian novasi kontraktor kepada kerajaan.

“Kerajaan terpaksa melantik terus kontraktor Pan Borneo ini secara ‘direct award’. Ini melewatkan pelaksanaan projek selama dua bulan disebabkan proses pelantikan memakan sedikit masa,” katanya di sini, hari ini.

Khidmat PDP ditamatkan pada September lalu dan selepas itu difahamkan kontraktor yang melaksanakan projek berkenaan terpaksa menghentikan kerja.

Ia disebabkan syarikat PDP terbabit tidak menandatangani perjanjian novasi bagi membolehkan kontraktor projek berkenaan meneruskan kerja.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turun membantu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis mendakwa projek itu terbengkalai.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, sebelum ini turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen Pekan itu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 5:21 PM