Siti Aminah Mohd Yusof


Butterworth: Enam individu dari Kedah dan Pulau Pinang mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat kontraktor yang menawarkan iklan pembinaan rumah banglo serendah RM89,000 sehingga RM300,000 seunit.

Pesara kerajaan, Sharuddin Mohamed, 61, berkata, dia sudah membayar RM87,750 untuk pembinaan banglo setingkat yang berharga RM135,000, dengan rumah itu sepatutnya siap dalam tempoh enam bulan iaitu pada 13 Disember lalu.

Katanya, kini bukan hanya wang simpanannya lesap, malah impian memiliki rumah di atas tanah sendiri di Tasek Gelugor lebur apabila pembinaannya hanya siap 30 peratus sebelum terbengkalai.

"Kerja-kerja pembinaan kerap tertangguh dan kontraktor memberi pelbagai alasan termasuk bahan binaan kehabisan stok selain berdepan masalah kekurangan pekerja.

"Lebih malang syarikat kontraktor itu bersikap lepas tangan dan saya tidak tahu perlu tunggu sampai bila lagi," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya, di sini hari ini.

SAKINAH (tiga dari kiri) bersama lima lagi mangsa menunjukkan salinan laporan polis dan gambar pembinaan rumah yang terbengkalai. FOTO Danial Saad
SAKINAH (tiga dari kiri) bersama lima lagi mangsa menunjukkan salinan laporan polis dan gambar pembinaan rumah yang terbengkalai. FOTO Danial Saad

Seorang lagi mangsa, Sakinah Ahmad, 33, yang juga guru berkata, dia tertarik dengan promosi syarikat itu yang disiarkan di Facebook pada Mac tahun lalu dan membuat bayaran sebanyak RM91,750 untuk sebuah rumah banglo setingkat di Pendang, Kedah.

Katanya, kontraktor berjanji menyiapkan rumah tersebut dalam tempoh empat bulan iaitu sekitar November tahun lalu tetapi selepas diberi masa ta8mbahan sehingga Disember lalu, fasa ketiga pembinaan rumahnya hanya siap 10 peratus.

"Saya percaya syarikat itu kerana mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain mempunyai dua pejabat yang terletak di Pulau Pinang dan Kedah yang masih beroperasi.

"Paling saya geram syarikat kontraktor itu masih aktif mengiklankan tawaran promosi rumah banglo di Facebook dan apabila saya hantar komen, mereka sekat (akaun media sosial) saya di Facebook mereka," katanya.

Sakinah berkata, dia terpaksa meminjam daripada saudara mara dan rakan untuk menyambung kerja pembinaan rumah tersebut dan akan merujuk permasalahan itu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.

"Lebih mengejutkan apabila saya muat naik perkongsian mengenai masalah ini di laman TikTok, rupa-rupanya ramai lagi mangsa senasib, jadi kami berjumpa dan sama-sama berbincang tindakan yang harus diambil.

"Tujuan saya tampil ke hadapan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya mereka yang tinggal di negeri sebelah Utara supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan promosi rumah seumpama itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 6:42 PM