MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Hari Inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2017 di Pusat Kecemerlangan Kejuteraan dan Teknologi JKR Malaysia (CREaTE) di Simpang Ampat, Alor Gajah. FOTO Muhammad Rasul Azli Samad
MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Hari Inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2017 di Pusat Kecemerlangan Kejuteraan dan Teknologi JKR Malaysia (CREaTE) di Simpang Ampat, Alor Gajah. FOTO Muhammad Rasul Azli Samad
Nur Ain Musdad


KEMENTERIAN Kerja Raya mengenalpasti 21 buah jambatan yang memerlukan kerja penambahbaikan dan penggantian.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini pihaknya mengambil langkah drastik menutup lima jambatan yang didapati tidak selamat digunakan orang ramai sejak sebulan lalu.

"Kebanyakan struktur jambatan tidak lagi selamat kerana sering digunakan kenderaan berat yang membawa lebih muatan.

"Lima jambatan sudah ditutup termasuk Jambatan Sungai Michu di Hulu Langat, Jambatan Sungai Rambai Besar dan Rambai Kecil di Kuala Langat, Jambatan Sultan Yusof di Teluk Intan, Perak dan Jambatan Buloh yang bersempadan dengan Selangor dan Perak," katanya, ketika merasmikan Hari Inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2017 di Pusat Kecemerlangan Kejuteraan dan Teknologi JKR Malaysia (CREaTE) di Simpang Ampat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob,Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Dr Roslan Md Taha dan Pengarah JKR negeri Zulkifly A Ghani.

Fadillah berkata, kos bagi membina jambatan baharu dan membaik pulih semua jambatan itu, membabitkan belanja RM88 juta dalam fasa pertama.

"Lima jambatan ditutup, manakala empat jambatan baru akan dibina sementara Jambatan Sultan Yusof akan dibaik pulih struktur tiangnya.

"Sebelum menutup laluan jambatan berkenaan, kita akan memaklumkan terlebih dahulu kepada orang ramai khususnya penduduk bagi memastikan mereka mengetahui perkara ini dan dapat menggunakan laluan alternatif," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, projek menaiktaraf jalan Ayer Keroh Ke Bandar Melaka membabitkan dua persimpangan, MITC di Ayer Keroh dan Peringgit yang menelan belanja RM286.6 juta, berjalan baik.

"Setakat ini kerja-kerja membina jejambat di kedua-dua persimpangan berjalan dengan baik cuma persimpangan Peringgit, kita menghadapi masalah dari segi utiliti.

"Masalah itu mungkin akan menyumbang kepada kelewatan projek itu untuk siap namun ia bukanlah projek terbengkalai kerana kita sudah mengambil tindakan yang sepatutnya untuk menyelesaikannya itu dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 7:41 PM