Fadillah   (tengah)  melawat pameran Hari Inovasi  JKR  Malaysia 2017 di  CREaTE  di Simpang Ampat,  semalam.
Fadillah (tengah) melawat pameran Hari Inovasi JKR Malaysia 2017 di CREaTE di Simpang Ampat, semalam.
Nur Ain Musdad


Alor Gajah: Kementerian Kerja Raya mengenal pasti 21 jambatan kritikal di negara ini yang memerlukan kerja penambahbaikan dan penggantian.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini pihaknya mengambil langkah drastik menutup lima jambatan yang didapati tidak selamat digunakan orang ramai sejak sebulan lalu.

“Kebanyakan struktur jambatan tidak lagi selamat kerana sering digunakan kenderaan berat yang membawa lebih muatan.

“Lima jambatan ditutup termasuk Jambatan Sungai Michu di Hulu Langat, Jambatan Sungai Rambai Besar dan Rambai Kecil di Kuala Langat, Jambatan Sultan Yusof di Teluk Intan, Perak dan Jambatan Buloh yang bersempadan dengan Selangor dan Perak,” katanya ketika merasmikan Hari Inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2017 di Pusat Kecemerlangan Kejuteraan dan Teknologi JKR Malaysia (CREaTE) di Simpang Ampat, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Dr Roslan Md Taha dan Pengarah JKR negeri, Zulkifly A Ghani.

Fadillah berkata, kos bagi membina jambatan baru dan membaik pulih semua jambatan itu membabitkan perbelanjaan RM88 juta dalam fasa pertama.

“Lima jambatan ditutup manakala empat jambatan baru akan dibina sementara Jambatan Sultan Yusof akan dibaik pulih struktur tiangnya.

“Sebelum menutup laluan jambatan berkenaan, kita memaklumkan terlebih dulu kepada orang ramai khususnya penduduk bagi memastikan mereka mengetahui perkara itu dan dapat menggunakan laluan alternatif,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, projek menaik taraf Jalan Ayer Keroh ke Bandar Melaka membabitkan dua persimpangan, MITC di Ayer Keroh dan Peringgit menelan belanja RM286.6 juta berjalan baik.

“Setakat ini, kerja membina jejambat di kedua-dua persimpangan berjalan de ngan baik cuma persimpangan Peringgit kami menghadapi masalah dari segi utiliti.

“Masalah itu mungkin menyumbang kepada kelewatan sedikit projek itu untuk siap namun ia bukanlah projek terbengkalai kerana kami mengambil tindakan sepatutnya untuk menyelesaikannya dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 6:10 AM