AHMAD Samsuri (tiga, kiri) mengiringi Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail (dua, kiri) melawat pameran pada perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Bita’dil Assuluk di Terengganu, hari ini.  FOTO Bernama.
AHMAD Samsuri (tiga, kiri) mengiringi Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail (dua, kiri) melawat pameran pada perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Bita’dil Assuluk di Terengganu, hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Tiada isu Terengganu dipinggir atau tidak dilibatkan dalam usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu telah dianugerahkan banyak projek dalam pelbagai kategori dan juga sektor bagi pembangunan rakyat dan negeri.

Namun beliau berkata terdapat juga projek yang bermasalah seperti terbengkalai dan tertangguh disebabkan pelbagai faktor.

"Apa yang dibentangkan adalah kajian separuh penggal yang bermaksud RMK12 sedang berjalan dan di pertengahan dibuat kajian. Sekiranya ada penambahbaikan, perubahan maka dibuatlah.

"Kita (Terengganu) masih mempunyai jumlah (projek) yang banyak dalam RMK12. Tetapi ada yang lambat, ada yang 'tertangguh' dan terbengkalai. Ini perlu diberi fokus supaya jangan kita hanya fokus perkara baharu, perkara lama tertinggal," katanya selepas perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah Dalam Itqan Al-Muluk Bita'dil As-Suluk Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Antara inisiatif yang dibentangkan dalam PKS RMK12 termasuk mempertingkatkan potensi ekonomi wilayah termasuk di Projek Taman Biopolimer Kerteh (KBP) di daerah Kemaman.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri menasihatkan orang ramai yang menyertai Himpunan Selamatkan Malaysia supaya tidak mencetus dan melayan provokasi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Saya berharap jika ada permohonan dari penganjur, pihak berkuasa haruslah menggunakan peruntukan yang ada untuk memberi kebenaran.

"Himpunan ini bukanlah suatu perkara baharu di Malaysia. Berdasarkan sejarah lalu, ia akan berlangsung dalam keadaan aman dan lancar jika tiada provokasi dicetuskan pihak lain," katanya.

Himpunan Selamatkan Malaysia dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini bermula dari Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur dan peserta digalakkan memakai baju putih dan membawa Jalur Gemilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 5:59 PM