Khairul Najib Asarulah Khan


WANITA warga emas yang ditemui mati dalam keadaan tangan diikat dan bahagian kepala ditutup dengan kain di Pangsapuri PKNS di Jalan Tasik Tambahan 2, Ampang, semalam, meninggal dunia akibat lemas.

Ketua Polis Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, hasil bedah siasat terhadap mangsa berusia 85 tahun itu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) hari ini mendapati dia mati akibat lemas dan terdapat unsur jenayah.

“Susulan kejadian itu, polis menahan lelaki berusia 61 tahun bagi membantu siasatan. Dia ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dalam kejadian 5.32 petang itu, mangsa ditemui mati oleh anak keduanya selepas pulang dari kerja.

Difahamkan, anak mangsa sudah tinggal bersama wanita berkenaan sejak 10 tahun lalu selepas bapanya meninggal dunia.

Berita berkaitan

Mati tertiarap, dua tangan diikat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 4:15 PM