ROSLAND (kiri) dan Mohamad Afif (tengah) berbincang selepas perjumpaan dengan wakil KPDNHEP di Putrajaya semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir
ROSLAND (kiri) dan Mohamad Afif (tengah) berbincang selepas perjumpaan dengan wakil KPDNHEP di Putrajaya semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir
Mahaizura Abd Malik


TIDAK pernah menjadi penjamin untuk sebarang pinjaman namun namanya sudah disenaraihitamkan.

Perkara pelik itu hanya disedari Azam Jaafar, 34, selepas mahu membuat pinjaman membeli rumah tahun lalu apabila namanya disenarai hitamkan dalam rekod CTOS Data Systems Sdn Bhd (Ctos) dengan jumlah hutang RM7,400.

Juruteknik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu berkata, dia tidak pernah menjadi penjamin kepada sesiapa melainkan menjadi rujukan abangnya bagi membeli sistem penggera keselamatan kereta dari sebuah syarikat, beberapa tahun lalu.

“Abang saya membayar wang pendahuluan RM200 serta RM80 sebulan selama dua tahun, tetapi peliknya jumlah tertunggak dan bunga mencecah RM7,400 berbanding RM2,000 harga sebenar sistem itu.

“Tahun lalu, ketika mahu membeli rumah saya terkejut pihak bank memberitahu nama saya disenarai hitamkan Ctos.

“Saya pelik sedangkan ketika urusan awal dengan wakil syarikat itu sebelum ini, saya hanya dimaklumkan sebagai rujukan abang bukan penjamin,” katanya yang hadir ke ibu pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini, semalam selepas rundingan dengan syarikat jualan langsung dari Jepun itu gagal.

Turut hadir, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) Rosland Mohd Ariff.

Seorang lagi mangsa, Mohamad Afif Mohd Nor, 31, pula bukan saja bakal disenarai hitamkan, malah kereta miliknya dilelong pada harga bawah pasaran selepas tidak membayar dua bulan ansuran berjumlah RM2,600 serta tambahan bunga hampir RM4,000.

“Kereta saya ditarik 16 Julai lalu tanpa surat penarikan kenderaan (RO), malah kad kuasa orang yang menarik kereta saya juga sudah tamat tempoh.

“Saya diminta menyediakan RM12,000 bagi menebus kereta saya, tetapi apabila ingin membayar kepada pihak syarikat itu, mereka memberi pelbagai helah.

“Mereka enggan melayan persoalan dan bayaran saya sebelum memberitahu kereta saya akan dilelong RM77,000 berbanding harga pasaran RM100,000,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah menyedari pinjamannya diuruskan syarikat kredit bukan bank bagi membeli kenderaan itu pada 2017.

“Selama lebih dua tahun saya tidak pernah culas bayar bulanan, cuma sesekali saya terlewat bayar. Janganlah kerana sedikit kelewatan itu saya dianiaya begini.

“Saya khuatir, jika kereta saya dilelong dengan harga bawah pasaran sudah tentu saya tidak mampu melunaskan baki pinjaman bank lebih RM20,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:00 AM