GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kebanyakan individu yang memerlukan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah disenarai hitam oleh institusi kewangan di negara ini.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir berkata, ada antara mereka disenaraikan dalam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan CTOS.

Berikutan itu, katanya, inisiatif kerajaan menawarkan pinjaman di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) KWSP itu tidak membantu golongan terkesan keluar daripada beban kewangan ketika ini.

"FSA2 itu hanya menyasarkan golongan T20 dan M40 yang tidak terkesan kerana jika mereka terkesan, sudah tentu tidak layak memohon disebabkan nama sudah disenarai hitam.

"Peminjam yang memohon FSA2 pastinya mempunyai simpanan Akaun 2 mencukupi dan pinjaman dibuat bertujuan menambah modal perniagaan atau sebagainya.

"Jadi mereka tidak berdepan masalah dan mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa peminjam FSA2 yang gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan berdepan risiko disenarai hitam.

Ahmad dilaporkan berkata, nama peminjam juga berisiko disenaraikan dalam CCRIS dan CTOS dengan pengeluaran caruman KWSP untuk membayar baki pinjaman hanya boleh dibuat apabila usia pencarum mencapai 50 tahun.

Azmi berkata, inisiatif ditawarkan kerajaan itu hanya membantu peminjam yang nama 'bersih' dan tiada isu gagal membayar hutang pinjaman perbankan sebelum ini.

"Sebab itu PGIRM mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP kecemasan kepada pencarum yang terkesan dengan beban hutang untuk diselesaikan demi kelangsungan hidup mereka," katanya.

Sebelum ini KWSP mengumumkan kemudahan FSA2 bagi ahli yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing.

FSA2 dijalankan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian, iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 2:55 PM