KEADAAN kenderaan terbabit dalam kemalangan itu. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kenderaan terbabit dalam kemalangan itu. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


HASRAT tukang masak untuk menyaksikan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 di Stadium Mini Teluk Intan, Teluk Intan, tidak kesampaian apabila maut selepas terbabit kemalangan dalam perjalanan ke stadium itu, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa, Muhamed Fikri Mohd Fazil, 29, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan di Kilometer 23 Jalan Langkap-Kampar dekat Teluk Intan.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Taiping itu menunggang Yamaha Y15 dan berkonvoi bersama rakannya untuk menyaksikan perlumbaan itu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa dari arah Kampar menghala ke Langkap.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta BMW.

“Pemandu BMW berusia 23 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Mohd Marzukhi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 9:43 AM