REMAJA lelaki maut manakala seorang wanita parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Kilometer 24.5 Jalan Teluk Intan - Bidor. FOTO ihsan bomba
REMAJA lelaki maut manakala seorang wanita parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Kilometer 24.5 Jalan Teluk Intan - Bidor. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi


REMAJA lelaki maut manakala seorang wanita parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Kilometer 24.5 Jalan Teluk Intan - Bidor, Teluk Intan, semalam.

Kejadian jam 6.50 petang itu membabitkan van jenis Toyota LiteAce yang dinaiki lapan wanita dengan motosikal Modenas Dinamik.

Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal, Mohamad Ikhwan Naim Kamarudin, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada anggota badan.

Pemandu van wanita berusia 42 tahun pula parah akibat tersepit di tempat duduk manakala tiga penumpang cedera ringan dan empat yang lain tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati remaja lelaki berkenaan menunggang motosikal seorang diri dari arah Bidor menghala ke Teluk Intan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar van dari arah Teluk Intan menghala ke Bidor yang dipandu seorang wanita bersama tujuh penumpang.

“Akibat perlanggaran itu, van berkenaan terbabas ke laluan bertentangan menghala ke Bidor,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah serta cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.55 petang sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan bergegas ke lokasi kejadian.

“Pemandu van tersepit manakala mangsa yang lain sudah dikeluarkan oleh orang awam, penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan operasi ditamatkan jam 8.45 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 10:33 AM