Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Seorang wanita yang hamil lima bulan nekad meredah banjir setinggi 0.6 meter selepas kediamannya di Kampung Belt Parit 3, Chikus dekat Langkap, di sini, dinaiki air, Rabu lalu.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, Noor Idayu Abd Rahman, 23, yang hamil anak sulung berada di rumah bersama ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) lemah kaki, manakala suami bekerja.

Noor Idayu berkata, ketika kejadian paras air semakin tinggi dan arus juga laju membuatkannya bimbang sebelum segera menghubungi suaminya.

"Suami bersama ahli keluarga lain membantu memindahkan mak dahulu sebelum memimpin saya keluar dari rumah dengan berjalan kaki.

Sebahagian mangsa banjir yang di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Sebahagian mangsa banjir yang di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

"Memang takut kerana paras air sudah semakin tinggi tapi saya beranikan diri. Alhamdulillah setakat ini tiada apa yang berlaku pada saya dan bayi dalam kandungan," katanya di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan MPTI, di sini, hari ini.

Noor Idayu antara 102 mangsa daripada 33 keluarga ditempatkan di PPS di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan Dewan Serbaguna Chikus.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohd Ali Hassan, 54, berkata, banjir kali ini adalah yang kedua terburuk tahun ini sehingga ada kawasan dinaiki air mencecah 1.2 meter.

Menurutnya, hujan lebat berterusan sepanjang minggu ini menyebabkan berlaku limpahan air berlumpur dari Sungai Batang Padang.

Sementara itu, Talha Mohd Nawi, 43, berkata, kerja pembersihan rumah ketika ini tidak dapat dilakukan kerana gangguan air disebabkan kerja penyelenggaraan berpunca dari masalah tangki.

"Kalau ikutkan banjir sudah surut dan boleh balik ke rumah, tetapi air pula tak ada, rumah dalam keadaan berlumpur, jadi kerja mencuci tak boleh dibuat lagi. Buat sementara ini kena duduklah di pusat pemindahan dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 4:38 PM